Fellowship of My Blog

nuff

08 February 2011

KATA MAHATHIR : NIK AZIZ DAN KWAN YEW


1. Kata Nik Aziz, "Melayu (di Malaysia) tolak Islam lebih teruk daripada Kwan Yew". Ternampak Nik Aziz lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Lee Kwan Yew. Nik Aziz anggap nasionalis Melayu lebih teruk ke-Islaman mereka.

2. Di zaman British ramai pembesar Melayu minum arak dan ada pekerja Melayu yang minum toddy. Masjid pun tidak banyak dan ramai yang tidak sembahyang. Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi Kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang Kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam. Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam? 

3. Sebaliknya apakah yang dilakukan oleh PAS dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar ialah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan PAS itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam. 

4. PAS turut memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia sekali lagi apabila PAS mengadakan sembahyang Jumaat dua Imam, larangan terhadap perkahwinan orang PAS dengan orang UMNO, larangan ahli PAS menghadiri kenduri orang UMNO dan pengasingan kubur orang PAS dari orang UMNO, seolah-olah di Akhirat juga PAS ingin pecah belah orang Melayu Islam terus berlaku.

5. Apabila PAS bertanding dalam Pilihanraya 1955 dan seterusnya hingga 1986 ia mendakwa bahawa UMNO yang bekerjasama dengan orang bukan Islam, mereka menjadi kafir. Ini juga memecahkan perpaduan orang Islam di Malaysia. 

6. Kemudian PAS bergabung tenaga dengan Semangat 46 dan DAP dalam Pilihanraya 1990 dan 1995. Dengan ini Semangat 46, serpihan dari UMNO mendapat nafas dan orang Melayu Islam terbahagi kepada tiga kumpulan. 

7. Alhamdulillah Semangat 46 kembali semula kepada UMNO dan perpaduan orang Melayu Islam dalam UMNO dipulih semula. Tetapi apabila Timbalan Presiden UMNO di keluarkan dari parti, Nik Aziz dengan cepat memberi sokongan kuat kepadanya supaya parti serpihan yang ditubuh boleh menarik keluar sebahagian daripada ahli UMNO dan penyokongnya supaya parti orang Melayu Islam yang terbesar ini menjadi lemah.

8. Hasil daripada sokongan Nik Aziz orang Melayu sekali lagi berpecah tiga. Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu PAS mendakwa kerjasama oleh UMNO dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadi Pakatan musuh UMNO yang kuat. Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal. 

9. Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Bahawa satu dari ajaran Islam yang penting ialah orang Islam itu bersaudara tidak dihirau oleh Nik Aziz.

10. Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu.

11. Cadangan Lee Kuan Yew ini dianggap oleh Nik Aziz sebagai lebih baik dari segala-gala yang dilakukan oleh nasionalis Melayu di Malaysia. Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal, Kit Siang, Guan Eng. Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

1 comment:

  1. saya setuju..orang islam kini berpecah belah.Kenapa ulama sanggup mengeluarkan kenyataan sebegitu? Walau teruk pun umno, kita masih boleh berdakwah dan menyebarkan agama islam....

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...