Perginya Permata Irama Malaysia
CINDAI. Sepotong judul lagu yang bukan sahaja ringkas sebutannya, malah turut mempunyai makna yang sangat mendalam. Membawa maksud kain sutera dengan corak berbunga-bunga, barangkali itu metafora yang cuba disampaikan oleh Pak Ngah sewaktu menggarap lagu berentak Irama Malaysia yang dinyanyikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza sekitar 21 tahun lalu.
Selain melodi dan lirik yang memberikan impak luar biasa dalam kalangan pendengar, suara emas Siti juga menjadi pemanis buat lagu berkenaan, sehingga menjulang karya agung itu sebagai lagu terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-13.
Dalam satu temu bual beberapa tahun lalu, Pak Ngah mengakui, lagu beliau sebenarnya sudah popular apabila lagu hari raya bertajuk Nostalgia Aidilfitri nyanyian Allahyarham Sharifah Aini diminati, namun pada masa itu, nama Pak Ngah belum dikenali ramai.
Katanya, album Ala Dondang milik Noraniza Idris dan Cindai yang dibikin khusus buat Siti adalah peluru yang telah meledakkan namanya dalam persada seni.
Pernah menjadi pengarah muzik untuk Pembukaan dan Penutupan Sukan SEA di Kuala Lumpur pada tahun 1980 dan menjayakan Perayaan Sambutan Ambang Merdeka dan Perarakan Raksasa Sempena 50 Tahun Merdeka, Pak Ngah juga pernah diberi penghormatan untuk mengisi kerusi juri bagi program dangdut popular di Indonesia, D’Academy Asia musim pertama.
Merupakan pejuang Irama Malaysia dan etnik kreatif sejati, dalam kebanyakan temu bualnya bersama media massa, Pak Ngah kerap menitipkan pesanan ini sepanjang hayatnya. Beliau bimbang jika irama sebegini mati ditelan zaman kerana tidak diperjuangkan.
Sakit Jantung
Menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Provinsi Kepri Tanjung Pinang, Indonesia akibat serangan jantung pada pukul 3.05 minit petang semalam, pemergian permata negara berusia 60 tahun itu memayung rasa duka rakyat Malaysia, khususnya pelantun suara yang pernah menyanyikan karya-karya agungnya sebelum ini.
Justeru, besar harapan kita untuk melihat ada pejuang tegar Irama Malaysia yang akan menyambung legasi Pak Ngah selepas pemergiannya. Sayang juga, jika suatu hari nanti lagu-lagu berentak Irama Malaysia kembali merajai industri muzik tempatan, Pak Ngah sudah tiada untuk meraikan rasa gembira itu.
Al Fatihah, Pak Ngah
[IZWAN MOHD. ISA dan NURUL FADILA AWALUDIN]
Comments
Post a Comment