Perginya Permata Irama Malaysia
CINDAI . Sepotong judul lagu yang bukan sahaja ringkas sebutannya, malah turut mempunyai makna yang sangat mendalam. Membawa maksud kain sutera dengan corak berbunga-bunga, barangkali itu metafora yang cuba disampaikan oleh Pak Ngah sewaktu menggarap lagu berentak Irama Malaysia yang dinyanyikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza sekitar 21 tahun lalu. Selain melodi dan lirik yang memberikan impak luar biasa dalam kalangan pendengar, suara emas Siti juga menjadi pemanis buat lagu berkenaan, sehingga menjulang karya agung itu sebagai lagu terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-13 . Dalam satu temu bual beberapa tahun lalu, Pak Ngah mengakui, lagu beliau sebenarnya sudah popular apabila lagu hari raya bertajuk Nostalgia Aidilfitri nyanyian Allahyarham Sharifah Aini diminati, namun pada masa itu, nama Pak Ngah belum dikenali ramai. Katanya, album Ala Dondang milik Noraniza Idris dan Cindai yang dibikin khusus buat Siti adalah peluru yang telah meledakkan ...